GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Melvin Joni


Betong: Suri rumah berputih mata apabila barang kemas bernilai RM116,000 yang ditebus daripada pelanggan kononnya dari kedai pajak gadai adalah emas palsu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata pada pertengahan Mei lalu, mangsa berusia awal 30-an itu mengiklankan pencarian 'dropship' di Facebook.

Susulan itu, katanya pada 27 Jun lalu, dia dihubungi oleh suspek iaitu seorang wanita melalui WhatsApp yang berminat menjadi 'dropship' bagi mencari pelanggan yang ingin menjual emas atau pelanggan ingin menjual emas yang sudah digadai di kedai pajak gadai.

"Mangsa yang mendapat modal kewangan daripada rakan melakukan 20 transaksi pembayaran kepada akaun bank suspek antara tarikh 1 hingga 7 Julai lalu berjumlah RM116,000 untuk membuat tebusan emas kononnya dari kedai pajak gadai dan pembelian emas daripada pelanggan.

"Suspek kemudian menghantar barang kemas seberat 347.78 gram kepada mangsa melalui penghantaran menggunakan bas ekspres daripada Miri ke Kuching pada 11 Julai lalu. .

"Ketulenan barang kemas itu kemudian diperiksa di kedai emas milik kawan mangsa di Kuching dan mendapati ia adalah emas palsu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, mangsa menyedari ditipu apabila suspek tidak dapat memulangkan kembali wang yang diminta suspek kerana sudah digunakan untuk urusan lain.

Katanya, mangsa membuat laporan polis untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Julai 2023 @ 12:08 PM